Powered by Blogger.

MORFOLOGI

>> Monday 26 October 2015





MORFOLOGI
            Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Struktur kata ialah susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang (tulisan) yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa sama ada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan, dan penggandaan. Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain dalam golongan kata yang sama. Aspek morfologi yang diberikan tumpuan ialah:
a. Struktur kata yang merujuk kepada pola suku kata bagi:
- kata asli bahasa Melayu
- kata pinjaman bahasa Melayu
b. Bentuk kata terdiri daripada:
- bentuk kata tunggal
- bentuk kata terbitan
- bentuk kata majmuk
- bentuk kata ganda
Proses pembentukan kata bahasa Melayu meliputi:
- pengimbuhan
- penggandaan
- pemajmukan


KATA TUNGGAL

            Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar lain. Kebanyakan kata tunggal dalam Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluaskan dengan bentuk terbitan.
Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata dan dua atau lebih suku kata.

Contoh:
satu suku kata – am, dan, roh, skru
dua suku kata – itu, ubi, aku
            Berasaskan perlaksanaan tatabahasa, kata tunggal dapat dibahagikan kepada tiga jenis:
a)Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang bermakna. Contoh : orang, gitar, pen, botol
b)Kata tugas, iaitu unit yang yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Contoh : dari, dan, pada, demi, untuk
Kata akronim, iaitu perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk singkatan ini terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf tertentu.

Contoh :
berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
komuter – keretapi berkomputer
kugiran – kumpulan gitar rancak
pawagam – panggung wayang gambar

KATA TERBITAN
Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan. Kata terbitan ini terbentuk melalui proses pengimbuhan iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan menghasilkan empat bentuk kata terbitan :
Kata Terbitan Berawalan
Kata Terbitan Berakhiran
Kata Terbitan Berapitan
Kata Terbitan Bersisipan

Imbuhan ialah unit-unit bahasa yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya.Imbuhan dapat dibahagikan pada empat jenis :
a) imbuhan awalan
- unsur imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar.
Contoh : imbuhan ‘ber’ dalam ‘bersukan’ à ber+sukan

b) imbuhan akhiran
- unsur imbuhan yang hadir selepas kata dasar
Contoh : imbuhan ‘-an’ dalam ‘makanan’ à makan+an
imbuhan ‘-kan’ dalam ‘kembalikan’ à kembali+kan

c) imbuhan apitan
- imbuhan yang hadir secara melingkungi kata dasar iaitu dua bahagian imbuhan yang hadir serentak pada awal dan akhir perkataan
Contoh : imbuhan ‘men…..kan’ dalam ‘mendebarkan’ à men+debar+kan
imbuhan ‘pe….an’ dalam ‘pendidikan’ pen+didik+an

d) imbuhan sisipan
- unsur imbuhan yang hadir di celahan kata dasar. Bentuk ini tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, iaitu kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan imbuhan sisipan
Contoh : imbuhan ‘…er…’ dalam ‘keruping’
imbuhan ‘…el…’ dalam ‘telunjuk’


Kata Terbitan Berawalan
Kata terbitan berawalan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a) Kata Nama : pelari, perakus ( imbuhan ‘pe’)
pembawa, pembuat (‘pem’)
suprakelas, supranasional (‘supra’)

b) Kata Kerja : melawan, mengikat, merasa (‘me’)
berjalan, berganti, berserta (‘ber’)

c) Kata Adjektif : terbesar, tercantik (‘ter’)
secerah, setebal, senipis (‘se’)


Kata Terbitan Berakhiran
Kata terbitan berakhiran dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja. Contoh :

a) Kata Nama : pakaian, jahitan, mainan (‘-an’)
sasterawan, angkasawan (‘-wan’)
budiman, seniman (‘-man’)
peragawati, seniwati (‘-wati’)
nasionalisme, patriotisme (‘-isme’)

b) Kata Kerja : gunakan, besarkan, buatkan (‘-kan’)
duduki, turuti, berkati (‘-i’)
Kata Terbitan Berapitan

Kata terbitan berapitan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a) Kata Nama : pelaksanaan, perasaan (‘pe…an’)
kelainan, kedukaan (‘ke…an’)

b) Kata Kerja : memainkan, melukakan (‘me…kan’)
beralaskan, berlaukan (‘ber…kan’)
diyakini, disirami (‘di…i’)
dipergunakan (‘diper…kan’)
memperdagangkan (‘memper…kan’)
keselesaan (‘ke…an’)

c) Kata Adjektif : kemelayuan (‘ke…an’)
Kata Terbitan Bersispan

Bentuk sisipan tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, yakni kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan sisipan. Bentuk-bentuk kata sisipan sudah membeku dalam kata terbitan tertentu dan tidak dapat hadir dalam perkataan –perkataan lain kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta. Kata terbitan bersisipan dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata adjektif terbitan. Contoh :
a) Kata Nama : kelingking, telunjuk (‘..el..’)
keruping, seruling (‘..er..’)

KATA MAJMUK
Kata majmuk merupakan dua patah kata dasar yang digabungkan untuk membentuk satu kata baru yang padu serta sebati maknanya.Kata majmuk ada yang dieja tercantum dan ada yang dieja terpisah tetapi tidak ada yang bersempang.
            Kata majmuk terbahagi kepada beberapa kelas seperti berikut ;
a) kata nama majmuk
b) kata adjektif majmuk
c) kata kerja majmuk


Kata Majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas.
Contohnya : guru besar, tengah hari, terima kasih, kapal terbang, Menteri Besar, Setiausaha Politik.
Kata Majmuk yang merupakan istilah khusus.
Contohnya : garis pusat, atur cara, lut sinar, mata pelajaran, kertas kerja, pita suara, reka bentuk.
Kata Majmuk yang membawa maksud simpulan bahasa.
Contohnya: tumbuk rusuk, gulung tikar, anak emas, kaki bangku, ringan tulang.
Namun begitu, terdapat juga kata majmuk yang ditulis secara bercantum kerana penggunaannya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan. Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993:75), antara kata majmuk yang ditulis bercantum ialah:

antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kerjasama

olahraga
matahari
kakitangan
setiausaha
sukarela

tanggungjawab
tandatangan
warganegara
pesuruhjaya
suruhanjaya

Selain itu, kata majmuk yang ditulis akan berubah menjadi kata majmuk yang ditulis serangkai apabila menerima apitan , misalnya pengenalpastian, disatupadukan, menandatangani, melipatgandakan dan dikuatkuasakan.
Cara Mengenal Kata Majmuk
Kata majmuk tidak dapat menerima sebarang penyisipan antara perkataan yang membentuk kata majmuk, contohnya:
·         Tandatangan tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk tanda yang tangan.
·         Urus setia tidak dapat disisipkan kata yang untuk membentuk urus yang setia.
·         Kakitangan tidak dapat disisipkan dan bagi membentuk kaki dan tangan
·         Tanah air tidak dapat disisipkan dan bagi membentuk tanah dan air.
Selain itu, kata majmuk mempunyai makna yang tertentu, yang berbeza daripada kata-kata asal yang membentuk kata majmuk tersebut. Misalnya:
·         Sapu tangan merupakan kata majmuk kerana merujuk kepada kain segi empat dan berlainan daripada makna biasa sapu dan tangan.
·         Bumiputera yang membawa makna tertentu yang terdiri daripada dua kata dasar bumi dan putera.
Golongan Kata Majmuk
Kata majmuk dapat digolongkan kepada golongan yang berikut ini.
Penggolongan Kata Majmuk
Contoh Perkataan
Kata Nama Majmuk
guru besar, balai raya, tapian gelanggang, cakar ayam, bulan madu, Menteri Besar, Naib Canselor,  ketua murid, warganegara, ketidakadilan, persuratkhabaran, kebolehpercayaan, tandatangan, warganegara, setiausaha.
Kata Kerja Majmuk
hapus kira, ambil alih, lipat ganda, kenal pasti, terima kasih, gulung tikar, bersatu padu, mereka bentuk, menandatangani, bertanggungjawab, berlatarbelakangkan.
Kata Adjektif Majmuk
merah jambu. Terang hati, kuning langsat, muda remaja, panas terik, sukacita, dukacita.
Kata Tugas Majmuk
bagaimana, apabila, barangkali, kadangkala, walhal, daripada, kepada, mana lagi.


PENGGOLONGAN KATA
            Perkataan dalam sesuatu bahasa dapat digolongkan ke dalam golongan -golongan tertentu berdasarkan beberapa kriteria, misalnya criteria struktur fonologi atau bunyi, criteria struktuf morfem, kriteria sintaksis , dan kriteria semantik.
            Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan/ atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.
Penggolongan kata dalam Bahasa Melayu terbahagi kepada empat iaitu :
a- kata nama
b- kata kerja
c- kata adjektif
d- kata tugas

KATA NAMA
            Kata Nama ialah kata yang merujuk khusus pada sesuatu nama orang , haiwan, benda, institusi, undang-undang, bangsa, bahasa dan pangkat. Menurut Za’ba (1965) memberi definisi nama sebagai semua perkataan yang menyebut benda atau orang dan sebagainya.
            Bagi Abdullah Hassan (2003) mendefinisikan nama sebagai kata yang menunjukkan nama benda, nama orang, nama tempat dan nama perkara.Lutfi Abas (1971) menyatakan kata nama sebagai kata yang terletak selepas bilangan atau bilangan serta penjodoh bilangan.

GOLONGAN KATA NAMA
Golongan nata nama dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kata nama khas,kata nama am dan kata ganti nama.


  
KATA NAMA KHAS


Kata nama khas ialah kata yang digunakan untuk tujuan rujukan khusus pada sesuatu nama orang, haiwan,  benda, perbadanan, undang-undang,bangsa, pangkat dan seumpamanya.Bagi kata nama khas tulisan huruf pertama atau awal ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas terbahagi kepada dua iaitu nama khas hidup dan nama khas tak hidup. Nama khas pula dibahagi kepada dua kumpulan iaitu manusia dan bukan manusia.



 KATA NAMA AM
Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya.Kata nama am boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, konkrit atau abstrak dan berbilang atau tidak berbilang.Menurut Asraf (2007) kata nama am boleh digunakan untuk sesuatu yang benyawa seperti manusia, haiwan, dan yang hidup seperti tumbuh-tumbuhan.Ia juga boleh digunakan kepada sesuatu yang tidak benyawa atau tak hidup iaitu benda, tempat dan sebagainya.

KATA GANTI NAMA
            Asraf (2007) memberikan definisi kata ganti nama sebagai kata yang mengambil tempat kata nama sebagai pengganti. Asraf membahagikan kata ganti nama kepada lima kumpulan iaitu kata ganti diri, kata ganti tanya, kata ganti tempat, kata ganti tunjuk dan kata ganti tak tentu.
            Manakala menurut Nik Safiah (1996) , kata gantu nama sebagai perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am.Kata ganti nama dibahagikan kepada dua golongan kecil iaitu kata ganti nama diri dan kata ganti nama tunjuk.
            Kata ganti nama diri pula dibahagikan kepada dua iaitu kata ganti nama diri orang pertama dan dan kata ganti nama diri orang kedua dan kata ganti nama diri orang ketiga.

KATA KERJA
            Kata kerja ialah perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu.Kata kerja menjadi binaan utama dalam frasa kerja.Kata kerja dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua jenis iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.

a) KATA KERJA TRANSITIF

-           Menerangkan perbuatan yang dibuat oleh pelaku terhadap orang atau benda lain.

Mesti diikuti oleh objek atau penyambut untuk melengkapkan maksudnya.

Terbahagi kepada dua bentuk:


Bentuk aktif – menerima awalan meN- dengan atau tanpa akhiran -kan  atau –i

Contoh:-           menulis             memasak          menyanyi          mengukus                                             menconteng            menaiki membesarkan
           
Bentuk pasif – hasil daripada proses perubahan ayat aktif kepada ayat pasif

Contoh:-    ditulis                      dimasak            dinyanyi            dikukus
                        diconteng          dinaiki              dibesarkan


b) KATA KERJA TAK TRANSITIF

            Menerangkan perbuatan yang dilakukan oleh pelaku terhadap dirinya sendiri.

Tidak memerlukan objek atau penyambut

Terbahagi kepada dua:-

Tanpa pelengkap – dapat berdiri sendiri tanpa objek atau penyambut:-

Contoh:-

Laili bermain.

Padi menguning.

Budak itu tertawa.

Pelajar itu pulang.
Berpelengkap – mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat.

Contoh:-

Laili keluar dari kelas.

Sofia menjadi guru.

Penyakitnya beransur pulih.


KATA ADJEKTIF

Kata adjektif ialah perkataan yang menerangkan sifat sesuatu benda, keadaan, atau perbuatan. Ada sekurang-kurangnya sembilan jenis kata adjektif.

Jenis Kata Adjektif

Kata adjektif sifatan / keadaan

Contoh:            baik, tegak, gopoh, pandai, takut, sihat, lemah, kasar, jahat, licin,
garang, buas, condong

Kata Adjektif Warna

Contoh:  hitam, putih, biru, jingga, merah, ungu

Kata Adjektif Ukuran

Contoh:  nipis, besar, pendek, tinggi, rendah, kerdil, tebal, panjang, kecil

Kata Adjektif Bentuk

Contoh: kemik, leper, bujur, buncit, lurus, bulat, lekuk, bengkok

Kata Adjektif Jarak

Contoh:  jauh, hampir, dekat, sebelah, rapat, nyaris

Kata Adjektif Waktu

Contoh:  cepat, lambat, silam, segera, baharu,

Kata Adjektif Perasaan

Contoh:  sayang, ragu, kecewa, gembira, rindu, marah, sayu, sedih, pilu

Kata Adjektif Cara

Contoh:  perlahan, segera, deras, laju, lincah, sering

Kata Adjektif Pancaindera

Contoh:  pahit, manis, busuk, tampan, merdu, payau, kelat, masin, masam,  nyaring,  gemeresik



Kata Tugas
 
Hadir dalam ayat untuk memikul tugas nahu atau tugas sintaksis tertentu. Jadual berikut menjelaskan fungsi kata tugas.
 
Contoh
subgolongan
Tugas
Dan, atau, tetapi, serta
Kerana, ketika, kalau
Gabungan
hubungan
Menghubungkan ayat atau klausa.
Aduh, amboi, wah syabas, oh, cis
Kata seru
Menunjukkan seruan
Mengapa bila, berapa, bagaimana
Kata tanya
Menyoal atau bertanya
Jangan, usah,
sila, jemput
tolong, minta, harap
Kata perintah
Larangan
Silaan
permintaan
Menimbulkan
Tindakan balas
Ya, benar, betul
Kata pembenar
Membenarkan sesuatu
Maka, hatta, adapun, syahdan
Kata pangkal ayat
Menandakan kesinambungan ayat
Telah, sudah, pernah, masih, sedang, tengah, akan belum.
Hendak, mahu ingin, harus, mesti, boleh, dapat.
Kata bantu
Membantu frasa-frasa kerja, adjektif, sendi nama.
Amat, sangat, sekali, terlalu, paling, sungguh, benar, nian.
Kata penguat
Menguatkanmaksud suatu adjektif
-kah, -tah, -lah, juga, pun, hanya, memang, lagi
Kata penegas
Menegaskan bahagian-bahagian tertentu dalam ayat
Bukan
tidak
Kata nafi
Menafikan sesuatu
Ialah
adalah
Kata pemeri
Memerikan hal atau merangkaikan subjek dengan predikat.
Di, ke, daripada, antara, untuk, bagi, akan, terhadap, oleh, seperti, umpama, bagai.
Kata sendi nama
Pelbagai tugas bagi kata atau frasa nama
Atas, bawah, sisi, depan, belakang, hadapan, , dalam luar, samping, timur, barat.
Kata arah
Menunjukkan arah atau hala

Satu, dua, sepuluh, seratus, sejuta
Banyak, sedikit, beberapa, semua, para
Sekalian, segala, seluruh
Sesetengah, separuh, dua pertiga, sepertiga
Kedua-dua, bertahun, berbakul-bakul, beratus-ratus.
Kata bilangan
Menerangkan bilangan atau jumlah
-nya
Kata penekan
Memberi penegasan bagi kata yang digandingi
-nya
Kata pembeda
Menjadikan kata bukan nama sebagai kata nama

Read more...

Konsep ‘Gagasan 1 Malaysia’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara Malaysia pada masa kini.

>> Sunday 25 October 2015


Konsep ‘Gagasan 1 Malaysia’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara Malaysia pada masa kini.



Pendahuluan
Matlamat 1 Malaysia adalah melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang terdiri daripada  pelbagai kaum dan agama yang harus menganggap diri mereka sebagai satu keluarga besar dalam satu negara bangsa  Malaysia, malah  berfikir dan bertindak ke arah mencapai perpaduan yang jati antara berbilang kaum. Gagasan 1Malaysia berhasrat mewujudkan sebuah kerajaan yang berpaksikan  kepada  hasrat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Gagasan 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan kelainan yang wujud dikalangan rakyat sebagai satu realiti hidup rakyat Malaysia. Rakyat berbilang keturunan dan etnik di Malaysia perlu menerima keunikan kaum yang lain, mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malah, bersedia hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati nilai-nilai dan kepercayaan  kaum yang lain. Ringkasnya, rakyat Malaysia sedia hidup sebagai satu ‘keluarga besar’ dalam satu negara hak milik bersama.
Oleh yang demikian gagasan 1 Malaysia dalam kontek masyarakat majmuk masa kini perlu dilihat daripada beberapa aspek utama.
1-1 Malaysia daripada Aspek Perpaduan Kaum
Sesungguhnya, Gagasan 1 Malaysia lebih bertekad memfokuskan kepada aspek psikologi atau jiwa rakyat Malayasia dalam menerima dan menerap nilai-nilai murni seperti kekitaan, memikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia, malah mengapuskan pemikiran yang bersandarkan satu kaum atau etnik tertentu di kalangan rakyat.
Gagasan 1Malaysia  mendorong rakyat lebih mementingkan kepentingan negara dalam perjuangan masing-masing daripada memenuhi kepentingan dan keperluan sesuatu kaum tertentu yang tidak terhad. 
Perledakan maklumat dan proses globalisasi telah mencetuskan pelbagai cabaran dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, keturuan dan etnik. Perubahan dalam landskap politik dunia juga turut mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia dalam konteks perpaduan dan integrasi antara kaum, malah dalam konteks patriotisme dikalangan golongan muda.
Sesungguhnya, perpaduan yang erat dan jati antara berbilang kaum di Malaysia adalah prakarsa bagi bukan sahaja menguatkan negara mengadapi ancaman globalisasai malah akan membantu  mempertahankan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang sedia terbina dan dinikamati sejak beberapa tahun yang lalu.
Sehubungan ini, Gagasan 1 Malaysia mainkan peranan penting sebagai alat yang membantu memastikan aspirasi negara, WAWASAN 2020 tercapai supaya Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Rakyat Malaysia , tanpa mengira keturunan,etnik, agama  malah kefahaman politik harus memahami, menghayati dan menerapkan teras-teras perpaduan seperti penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial  dan nilai-nilai aspirasi  seperti  budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu , integriti , ketabahan , kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi,  yang dimajukan dalam Gagasan 1 Malaysia supaya negara bangsa Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman,damai dan sejahtera dipersada dunia.  

2-Aspek Kebebasan Beragama
Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi di Malaysia tetapi berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, setiap orang di negara ini berhak untuk menganuti agama
masing-masing.
Konsep 1 Malaysia adalah bertepatan dengan hak kebebasan beragama yang
diberi oleh Perlembagaan Persekutuan. Prinsip penerimaan di bawah konsep 1
Malaysia menyeru rakyat agar menerima agama, amalan, budaya dan cara hidup kaum
lain demi memperkukuhkan perpaduan nasional. Prinsip ini menghargai dan
menghormati identiti, agama dan budaya yang berbeza untuk setiap etnik di Malaysia
dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Perkara-perkara yang terbaik yang dimiliki oleh kaum di Malaysia perlu mendapat
penerimaan daripada masyarakat di negara ini. Apabila kaum di Malaysia menerima
agama kaum yang lain, ia secara langsung akan menerima budaya dan cara hidup
kaum yang lain. Ini adalah kerana agama merupakan salah satu faktor yang akan
mempengaruhi budaya dan cara hidup sesuatu kaum.
Nilai rendah diri berkait rapat dengan prinsip penerimaan. Nilai rendah diri amat
digalakkan dalam masyarakat negara yang berbilang kaum terutamanya dalam ajaran
agama masing-masing. Sifat rendah diri yang berhemah dan berbudi bahasa perlu
menjadi amalan hidup rakyat Malaysia. Apabila kaum-kaum di negara ini mengamalkan
nilai rendah diri, mereka akan secara ikhlas menerima agama, budaya dan cara hidup
kaum yang lain

3-Keadilan Sosial
Prinsip keadilan sosial yang merupakan prinsip teras yang terakhir dalam konsep
1 Malaysia menuntut bahawa setiap kaum di negara ini harus diberi keadilan yang
sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang ataupun agama. Semua kaum harus
menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu
dinikmati secara bersama. Nasib semua kaum harus dibela dan tiada mana-mana pihak
harus dipinggirkan. Prinsip keadilan sosial juga menyaran kerajaan supaya
melaksanakan dasar kerajaan dan peruntukan Perlembagaan untuk membela golongan
yang memerlukan.
Prinsip keadilan sosial dalam konsep 1 Malaysia adalah disokong oleh Perkara 8
dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8 dengan jelas mengiktiraf dan
melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi setiap orang di negara ini dan ia
dinyatakan di bawah Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Walau
bagaimanapun, Fasal (2) Perkara 8 membenarkan diskriminasi terhadap warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana
undang-undang atau dalam perlantikan apa-apa jawatan atau pekerjaan di
bawah pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang
berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubung
dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profession,
kerjaya atau pekerjaan jika dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, konsep kesamarataan dalam prinsip keadilan sosial mestilah
sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan
diskriminasi dalam keadaan tertentu.
Prinsip keadilan sosial dari segi pendidikan pula diperuntukkan dalam Fasal (1)
Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan27 yang melarang diskriminasi terhadap mana-mana
warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan dan tempat lahir
dalam aspek pendidikan yang antara lainnya mengenai kemasukan pelajar ke institusi
pendidikan dan bantuan kewangan. Dari segi bantuan kewangan (pemberian biasiswa),
nilai meritokrasi yang merupakan salah satu daripada 8 nilai utama dalam konsep 1
Malaysia digunakan bagi memastikan hanya pelajar yang layak akan diberi bantuan
kewangan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Dalam hal ini, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134], telah digubal atas prinsip keadilan sosial. Ini adalah kerana hak dan kepentingan golongan masyarakat seperti orang asli dan orang kurang upaya sering terabai jika dibandingkan dengan masyarakat yang berada di arus perdana di negara ini dan undang-undang yang digubal adalah untuk melindungi golongan seperti ini. Prinsip keadilan sosial menuntut bahawa semua orang di negara ini diberi hak yang sama dan keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek sosial.Akta 134 diwujudkan bagi memberi perlindungan kesejahteraan dan kemajuan orang asli di Semenanjung Malaysia.

4-Aspek Nilai Meritokrasi
Nilai meritokrasi dalam konsep 1 Malaysia menekankan persaingan terbuka
berasaskan kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria
tersebut berhak dipilih. Sebagai contohnya, dalam aspek pemerolehan projek kerajaan,
pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat
yang hendak mendapat tender tersebut hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Nilai meritokrasi yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjelaskan konsep 1 Malaysia mengatakan bahawa:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita
mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik
dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.”.
Berdasarkan pernyataan Perdana Menteri, dasar afirmatif dan dasar menolong kaum bumiputera di bawah Perkara 153 masih dikekalkan asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Nilai meritokrasi memang dilaksanakan dalam dasar afirmatif di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walaupun terdapat sistem kuota untuk sesetengah perkara seperti pemberian biasiswa, lesen dan sebagainya, namun meritokrasi masih dilaksanakan dengan memberi pertimbangan kepada orang yang paling layak dalam kuota masingmasing. Nilai meritokrasi mempunyai kaitan rapat dengan nilai budaya kecemerlangan dan nilai ketabahan. Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Penerapan nilai meritokrasi dalam nilai budaya kecemerlangan membolehkan rakyat Malaysia memberikan yang terbaik dalam setiap perkara dan tugas demi mencapai ke tahap
yang terbaik. Oleh yang demikian, nilai meritokrasi memainkan peranan yang penting sebagai asas kepada budaya kecemerlangan. Nilai meritokrasi dan nilai budaya kecemerlangan adalah adunan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi Malaysia.
5-Aspek Pendidikan
Konsep 1 Malaysia menekankan pendidikan sebagai prasyarat yang penting.
Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan
untuk membangunkan negara. Semua aliran, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah
Cina atau Sekolah Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Dalam keadaan ini, Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak berkenaan dengan pendidikan mengiktiraf nilai pendidikan dalam konsep 1 Malaysia.
Nilai pendidikan dalam konsep 1 Malaysia disokong oleh Akta Pendidikan 1996
[Akta 550]. Akta 550 diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tajuk panjang Akta 550 menyatakan bahawa ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Di samping itu, Akta ini juga mengatakan bahawa tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat. Berdasarkan kepada tajuk panjang Akta 550, nilai pendidikan yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah bertepatan dengan Akta 550.

Kesimpulan
Gagasan 1 Malaysia merupakan satu  gagasan besar demi meletakkan Malaysia di puncak kejayaan.Oleh yang demikian kebajikan pelbagai kaum di Malaysia dititik beratkan bagi menjamin keadilan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi,pendidikan,politik mahupun kebajikan sama ada secara langsung atau secara persaingan yang sihat.
Dalam gagasan satu Malaysia ini, adalah menjadi harapan kerajaan agar masyarakat majmuk  Malaysia dapat merasai nikmat kemajuan secara bersama tanpa perlu menindas atau mengenepikan hak-hak dan kepentingan kaum lain.
.

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP