Powered by Blogger.

Faktor-faktor yang Membawa Kepada Terbentuknya Masyarakat Majmuk di Tanah Melayu

>> Saturday, 24 October 2015




 Faktor-faktor yang Membawa Kepada Terbentuknya Masyarakat Majmuk di Tanah Melayu
 
Pengenalan
             Masyarakat majmuk sangat sinonim dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai kaum serta identiti. Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia. Daripada keseluruhan bangsa tersebut, terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu, India dan Cina. Menurut Kamus Dewan, konsep masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang menetap bersama-sama disuatu tempat dengan mengikut aturan dan cara tertentu dan masyarakat ini pula terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa. Oleh itu, gabungan kedua-dua istilah masyarakat majmuk membawa maksud `satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa telah membentuk satu kesatuaan, khususnya dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang bersatu padu.
              Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.

             J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras. 

              Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik. 
Faktor yang membawa kepada terbentuknya masyarakat majmuk di Tanah Melayu
                Dalam memahami intipati masyarakat majmuk yang menumpukan semenanjung Malaysia sahaja, perkara yang akan dibincangkan pertamanya ialah sejarah yang mewujudkan masyarakat majmuk. Kehadiran pelbagai kaum pada asasnya telah bermula semasa era kegemilangan Melaka lagi melalui proses perdagangan yang dijalankan. Walau bagaimanapun kehadiran mereka ini tidak dapat digerak menyusuri istilah masyarakat majmuk. Penggunaan istilah masyarakat majmuk itu sendiri hanya bermula pada penghujung abad ke-18 dengan adanya peranan pihak British.Malaysia yang dikenali Tanah Melayu pada suatu ketika dulu pernah dijajah oleh tiga negara yang berbeza iaitu Portugis, Belanda,British dan Jepun. Di sini kita akan bincangkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu melalui penjajahan kuasa asing ,faktor penarik di Tanah Melayu ketika itu dan faktor penolak di negara-negara asal yang menyebabkan berlakunya penghijrahan.

a)Faktor Penarik
                 Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
               Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
              Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu.
                 Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India. 
b) Faktor Penolak
                  Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.
                  Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
                    Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Cina ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar. 
                    Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu. 

c) Faktor Penjajahan
                 Perubahan ketara berlaku semasa penjajahan British. Pendudukan British di Tanah Melayu bermula dari pergolakkan politik dan perebutan takhta yang berlaku di Kedah dan Johor yang telah dijadikan kesempatan oleh British untuk menakluk Pulau Pinang dan Singapura. Manakala melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, secara langsung Melaka telah diserahkan oleh Belanda kepada pihak British.
                 Ketiga-tiga wilayah ini telah disatukan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai negeri-negeri Selat. Penjajahan British di Tanah Melayu bertujuan memenuhi keperluan permintaan bahan mentah untuk industri barat, mencari pasaran baru bagi barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburan di barat. Hasilnya Tanah Melayu membangun dengan pelbagai infrastruktur seperti jalan kereta api yang menghubungkan bandar dengan pelabuhan, perladangan dan pembangunan bandar-bandar kecil.
                   Tanah Melayu yang pada ketika itu kekurangan pekerja di sektor perladangan dan perlombongan telah menyebabkan pihak British mulai membawa masuk beramai-ramai buruh dari China dan India untuk menampung kekurangan pekerja.
                   Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain. 

Kesimpulan
                   Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Imigran-imigran ini datang ke Tanah Melayu atas faktor penarik, faktor penolak dan juga atas faktor penjajahan.Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

Read more...

Sejauhmanakah teori psikologi timur mampu untuk menandingi dan menjadi alternatif kepada teori-teori yang dikemukakan di Barat?


Sejauhmanakah teori  psikologi timur mampu untuk menandingi dan menjadi alternatif kepada 

teori-teori yang dikemukakan di Barat?




PENGENALAN

Teori Timur dan Teori Barat sering diperdebatkan untuk mencari kebenaran teori yang manakah yang lebih baik dan sesuai diguna pakai. Pelbagai teori juga telah dikemukakan oleh barat dan timur berkaitan dengan pelajaran.Antara teori timur dan barat yang boleh dibincangkan berkaitan pelajaran di sekolah ialah teori psikologi motivasi.

PENGERTIAN TEORI
Teori merupakan antara perkara asas kepada sesuatu bidang ilmu, termasuklah bidang psikologi pendidikan. Teori-teori pembelajaran dalam psikologi pendidikan memberi fokus kepada aspek-aspek pembelajaran dan daripadanya datang idea-idea dan prinsip-prinsip tertentu.Perkataan teori ini sebenarnya tidak asing bagi kita, malah adakalanya digunakan dalam percakapan atau perbualan seharian. Walau bagaimanapun penggunaan perkataan teori dalam perbualan seharian ini mungkin tidak menepati maksud teori yang sebenar. Apakah yang dimaksudkan dengan teori?
• Stanovich (1992) telah memberi satu definisi tentang teori, iaitu :
“ … set konsep-konsep yang saling berkait, yang digunakan untuk menjelaskan sesebuah data
dan untuk meramal keputusan kajian-kajian akan datang” .
• Cohen, R pula mendefinisikan teori sebagai satu set pernyataan sejagat yang ada pertalian
antara satu sama lain. Ia mengandungi definisi dan pernyataan yang menggambarkan
pertalian antara dua perkara yang dianggap benar. Ia juga mengandungi ayat-ayat yang
menggambarkan peraturan bagi membentuk satu pernyataan beru.
• Dalam erti kata lain, kita boleh maksudkan teori sebagai andaian-andaian ataupun hipotesis-hipotesis tentang sesuatu yang berdokongkan kajian.

Maksud Teori Pembelajaran
Definisi : Hipotesis-hipotesis oleh ahli-ahli Psikologi tentang maksud pembelajaran,
bagaimana ia berlaku dan faktor-faktor yang mempengaruhi proses pembelajaran.
Fungsi-fungsi teori pembelajaran
1) Mendorong kaji selidik dan pemikiran saintifik.
- Pendekatan kepada satu bidang pengetahuan, memberi panduan kepada:
• apa yang harus dikaji
• pemboleh ubah yang terlibat
• teknik kajian
• cara menghuraikan hasil kajian.
2) Menghuraikan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum pembelajaran dengan seberapa mudah dan ringkas.
3) Menghurai dan memberi kesimpulan tentang erti pembelajaran, bagaimana ia berlaku dan
faktor-faktor yang mempengaruhinya.

Definisi Motivasi
Secara umumnya pengertian konsep motivasi dapat dijelaskan sebagai keadaan dalaman diri yang membangkit, menguasai dan mengekalkan sesuatu tingkah laku dalam diri seseorang itu (Woolfolk, 1998).  Apabila membincangkan konsep motivasi, ahli Psikologi memberi fokus kepada beberapa persoalan asas (Graham & Weiner, 1996; Pintrich, Marx, & Boyle, 1993) seperti berikut:
Bagaimanakah pemilihan ke atas sesuatu itu dibuat yang kemudiannya menentukan tingkahlaku? Sebagai contohnya mengapakah sebahagian daripada pelajar memilih untuk belajar, dan dalam masa yang sama ada pula yang memilih untuk menonton tv?
Apabila seseorang itu telah mengambil keputusan untuk membuat sesuatu, berapa lamakah masa yang diambil untuk memulakannya? Mengapakah ada pelajar yang terus  bertindak apabila telah membuat keputusan untuk belajar, tetapi ada pula yang menangguh tindakan  setelah membuat keputusan?
Apakah tahap penglibatan, atau kesungguhan seseorang pelajar itu dalam melaksanakan aktiviti yang telah dipilih? Adakah pelajar memberi konsentrasi sepenuhnya atau sebaliknya buat sambil lewa sahaja?
Apakah yang menyebabkan seseorang pelajar itu terus berusaha dan yang lain pula mudah menyerah kalah?
Apakah yang dirasa dan difikirkan semasa seseorang itu sedang belajar? Adakah dia merasa tenang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang sedang dipelajarinya, atau lebih banyak memikirkan  tentang masalah kewangannya yang belum juga dapat diselesaikan itu?

Konsep dan Jenis  Motivasi: Motivasi Intrinsik dan Ekstrinsik
Apakah perkara yang menggerak dan menentukan tingkah laku seseorang itu? Antara traits yang selalu dikaitkan dengan konsep motivasi  ialah  : Keinginan (drives), keperluan (needs), insentif, rasa takut (fears), matlamat (goals), tekanan sosial (social pressure), kepercayan diri (self-confidence), minat (interests), rasa ingin tahu (curiousity), kepercayaan (beliefs), nilai (values), pengharapan (expectations), dan berbagai lagi.
Konsep motivasi juga dapat dijelaskan berdasarkan ciri-ciri individu atau traits. Sebagai contohnya, ada pelajar yang bertindak melakukan sesuatu disebabkan keinginan yang tinggi untuk berjaya; tetapi ada pula yang bertindak disebabkan takut untuk gagal; mungkin juga mereka bertindak kerana minat yang sangat mendalam dalam perkara itu, dan mungkin  pula semata-mata disebabkan rasa bertanggung jawab kepada kedua ibubapa yang menaruh harapan begitu tinggi terhadap mereka.

Ada pula ahli Psikologi yang berpendapat bahawa konsep motivasi dirujukkan kepada keadaan diri seseorang buat masa itu sahaja. Sebagai contoh, semua pensyarah yang mengikuti kelas psikologi berusaha memberi sepenuh perhatian terhadap kuliah hari itu kerana mereka tahu apa yang diajar penting untuk ujian kenaikan pangkat. Pada dasarnya, motivasi yang terbentuk pada sesuatu ketika itu adalah gabungan antara traits diri dan keperluan pada masa itu. Persoalan yang boleh diajukan kepada diri sendiri: Adakah saya berada dalam bilik kuliah hari ini disebabkan saya menghargai ilmu, atau adakah kerana saya perlu menduduki ujian?
Satu kesimpulan boleh dibuat bahawa motivasi bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran yang masing-masing dikenali sebagai motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.
a)         Motivasi Intrinsik         
Jenis motivasi ini dikaitkan dengan faktor dalaman diri seperti keperluan, minat, rasa ingin tahu, dan rasa kepuasan diri. Jenis motivasi ini dikenali sebagai motivasi dalaman (intrinsik). Ia juga merupakan ciri semula jadi manusia, atau tabii manusia, untuk cuba mengatasi segala cabaran dalam proses mendapatkan sesuatu yang diingininya (Reeve, 1996). Apabila seseorang itu mempunyai keinginan yang intrinsik, dia tidak memerlukan apa-apa insentif atau hukuman untuk melakukannya kerana aktiviti itu sendiri sudah dapat memenuhi kepuasan dan keperluan dalaman individu itu. Mengikut Raffini (1996), motivasi intrinsik merupakan ‘…what motivates us to do something when we don’t have to do anything (p.3).’    


b)         Motivasi Ekstrinsik
Jenis motivasi ini dikaitkan dengan faktor luaran diri atau faktor persekitaran seperti hadiah atau ganjaran, tekanan sosial, hukuman, dan lain-lain. Jenis motivasi ini dikenali sebagai ekstrinsik atau motivasi luaran. Motivasi ekstrinsik adalah berlawanan dengan motivasi intrinsik di mana aktiviti yang dibuat adalah bertujuan untuk mendapatkan ganjaran, atau untuk dipuji, atau untuk mengelak daripada hukuman, atau untuk mendapatkan perhatian seseorang yang disayangi, atau apa sahaja sebab selain daripada untuk pemenuhan  kendiri. Hakikatnya seseorang itu tidak sebenarnya berminat untuk melakukan aktiviti itu, tetapi sebaliknya semata-mata untuk mendapat ganjaran.

Teori Motivasi Menurut Perspektif Islam
              Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun yang lalu telah datang dengan teori-teori pendidikan (termasuk motivasi) yang komprehensif bersumber Al-Quran dan As Sunnah (Muhanna, 1990). Menurut Baharuddin (2005) di antara perkara utama yang membezakan di antara psikologi Islam dan Barat adalah persoalan tentang manusia.
Perbezaan pandangan tentang manusia di kalangan ahli Psikologi Barat sendiri telah
melahirkan berbagai-bagai teori yang berkembang di Barat. Psikologi Islami telah
membangunkan teori dan konsep tentang manusia bersumberkan kitab suci Al Quran yang
menyeluruh meliputi:
 1)Jasmaniah (tubuh fizikal)
2)Nafsiah (Al-nafsu, al-‗aql dan al-qalb) dan
3)Ruhaniah.
Manakala Psikologi Barat hanya membincangkan aspek jasmaniah (tubuh
badan) dan aspek nafsiah sahaja dan aspek rohaniah tidak terjangkau di dalam psikologi
Barat. Sebagai contohnya Psikologi Fisiologi dan behaviorisme hanya membincangkan aspek
jasmaniah ; Psikoanalisa Sigmund Freud hanya membincangkan aspek nafsiah ; manakala
teori Humanistik hanya membincangkan aspek Jasmaniah dan Nafsiah sahaja (Baharuddin,
2005). Walaupun Psikologi Humanistik dan Tranpersonal telah mengakui spiritual sebagai
sebahagian dari elemen psikologi namun spirit yang dimaksudkan bukan seperti yang
dijelaskan dalam pandangan agama.
Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah mengandungi teori-teori
pendidikan dan psikologi (termasuk motivasi) yang komprehensif (Muhanna, 1990). Konsep-konsep motivasi ini telah lama diaplikasikan di dalam pendidikan di dalam dunia Islam dan
para sarjana Islam telah menulis mengenai mengenainya (psikologi manusia dan motivasi)
secara intensif walaupun istilah psikologi tidak wujud pada ketika itu (Haque, 2004).
Menurut Haque (2004) di dalam penulisan-penulisan sarjana Islam istilah nafs (self or soul)
digunakan. Nafs merangkumi topik yang luas iaitu qalb(hati), ruh, aql(intelek/kognitif) dan
irada (kehendak). Sebagai contohnya Al-Ghazali(2007) (1058-1111 masihi, 450-505 hijrah)
telah mengemukakan teori keperluan (fitrah) dan personaliti (Mook Soon Sang, 2009) jauh
lebih awal dari teori yang telah dikemukakan oleh Maslow(1970). Haque (2004) pula telah
menyenaraikan sebahagian tokoh sarjana Islam yang menyumbang di dalam bidang ini iaitu
1) Al Ash‘ath Bin Qais Al-Kindi (801–866), 2) Ali Ibn Sahl Rabban At-Tabari (838–870), 3)
Abu Zaid Al-Balkhi (850–934), 3) Abu Bakr Mohammad Ibn Zakariya Al-Razi (864–932), 4)
Abu Nasr Mohammad Ibn Al-Farakh (Al-Farabi) (870–950), 5) Abul Hasan Ali Abbas Almajusi (D. 995), 6) Ikhwan Al-Safa: The Bretheren of Purity (10th century A.D.), 7) Abu Ali Ahmad B. Muhammad B. Ya‘kub Ibn Miskawayh (941–1030), 8) Abu ‗Ali Al-Husayn B.‗Abd Allah Ibn Sina (980–1037), 9) Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali (1058–1111), 10)
Abu Bakr Mohammed Bin Yahya Al-Saigh Ibn Bajjah (1095–1138), 11) Ibn Al-Ayn Zarbi
(D. 1153), 12) Abu Bakar Muhammad Bin Abdul Malik Ibn Tufayl (1110–1185), 13) Abu‘l
Walid Muhamad Bin Ahmad Ibn Rushd (1126–1198), 14) Fakhr Al-Din Muhammad Umar
Al Razi (1149/50–1209) dan 15) Muhyid-Din Muhammad Ibn Ali (Ibn Arabi) (1164–1240).
Ali Ibn Sahl Rabban At-Tabari sebagai contohnya adalah merupakan pelopor dalam bidang
perkembangan kanak-kanak menerusi bukunya Firdaus Al Hikmah. Abu Zaid al-Balkhi pula
merupakan ahli psikologi kognitif dan perubatan yang pertama yang telah berjaya
membezakan dengan jelas di antara neuroses dan psychoses (Haque, 2004). Ahli psikologi
Muslim yang terkini juga telah membincangkan mengenai teori-teori motivasi menurut
perspektif Islam.

Najati (2001, 2006)- Motivasi dalam Al Quran dan hadis Nabi
Najati (2001) telah mengemukakan teori motivasi berdasarkan kaedah pendidikan yang telah digunakan oleh Al Quran dan kaedah pendidikan yang digunakan oleh Nabi Muhammad S.A.W (Najati, 2006). Najati telah membincangkan teori motivasi di dalam Al Quran dalam bentuk :
1)motivasi fisiologi seperti motivasi menjaga kelangsungan hidup dan motivasi menjaga keturunan,
2)Motivasi kejiwaan/spritual seperti motivasi kejiwaan, motivasi spritual,
3) Motivasi tidak sedar
4)konflik di antara motivasi-motivasi
5)kaedah untuk mengawal motivasi
 6)penyimpangan motivasi-motivasi.
Najati (2001) juga telah membincangkan di antara kaedah yang digunakan di dalam Al-Quran adalah untuk menimbulkan motivasi pembelajaran seperti:
i. Menimbulkan Motivasi dengan Memberikan Harapan (targhib) dan Ancaman(tarhib).
Manusia cenderung melakukan perbuatan yang menyeronokkan dan menjauhi perbuatan yang menyakitkan. Banyak eksperimen yang telah dilakukan oleh ahli psikologi moden tentang perkara ini. Ayat-ayat targhib di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang kenikmatan syurga akan membangkitkan cita-cita umat Islam untuk mendapatkan kenikmatan ini dan berpegang teguh pada takwa manakala ayat-ayat tarhib yang menerangkan tentang siksa neraka akan membuatkan mereka menjauhi segala perbuatan dosa. Penggunaan kedua-dua kaedah ini secara bersama adalah lebih berkesan berbanding dengan hanya menggunakan salah satu kaedah sahaja.
ii. Membangkitkan motivasi dengan kisah-kisah
Melalui cerita Al Quran memberi nasihat dan membimbing serta mendidik manusia berbagai pelajaran dan hikmah. Menurut Najati (2001) kebiasaannya kisah di dalam Al Quran dimulai dengan ringkasan cerita diikuti dengan penceritaan kisah secara mendalam. Contohnya seperti kisah Ashabul Kahfi. Ada juga kisah yang dimulai dengan menyebut akibat dan tujuan terlebih dahulu sebelum kisah diceritakan.
iii. Memanfaatkan peristiwa-peristiwa penting
Peristiwa-peristiwa dan masalah-masalah merupakan salah satu faktor yang dapat membangkitkan motivasi. Al Quran telah menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang dilalui oleh umat Islam terdahulu dan penyelesaian masalah yang telah diambil sebagai panduan kepada umat kini. Kepentingan memanfaatkan peristiwa-peristiwa penting ini juga boleh dilihat dari sebab-sebab turunnya ayat-ayat Al Quran (asbabunnuzul). Kebanyakkan ayat Al Quran juga diturunkan bertepatan dengan peristiwa penting yang berlaku pada ketika itu. Menurut Najati, motivasi adalah merupakan sebahagian daripada prinsip-prinsip pembelajaran yang telah digunakan di dalam Al Quran dan Rasulullah di dalam mendidik umat Islam. Oleh yang demikian bahagian yang seterusnya akan membincangkan prinsip-prinsip pembelajaran ini.
a-Ganjaran (reward)
Najati (2006) juga telah membincangkan mengenai penghargaan/ganjaran (reward) di dalam pembelajaran pendidikan. Bentuk-bentuk ganjaran yang digunakan oleh Al-Quran dan
Rasulullah tidak hanya berbentuk kebendaan tetapi juga di dalam bentuk abstrak seperti
pujian, penghargaan dan motivasi. Dari segi jangkamasa ganjaran pula, terdapat tiga bentuk
yang digunakan oleh Al Quran dan Rasulullah iaitu :

1)pemberian ganjaran secara serta merta.
contohnya Rasulullah SAW telah memerintahkan agar bayaran upah pekerja hendaklah di
bayar sebelum kering peluh pekerja.

 2)menangguhkan pemberian ganjaran dalam tempoh jangka panjang ,contohnya :ganjaran bagi orang yang berbuat kebaikan ialah syurga.

3)pemberian ganjaran tanpa menetapkan batasan masa yang jelas sebagai contohnya malam
lailatur Qadar yang bersamaan dengan ganjaran seribu bulan tidak dinyatakan masanya
dengan jelas. Menurut Najati (2006) perkara ini dapat merangsang motivasi umat Islam
untuk beramal sepanjang bulan Ramadhan terutama sepuluh malam yang terakhir.


b-Pembahagian waktu belajar
Di antara prinsip-prinsip pembelajaran yang digunakan oleh Al Quran ialah pembelajaran hendaklah di selangi dengan waktu rehat (Najati, 2001, 2006). Perkara ini dapat dilihat apabila Al Quran sendiri diturunkan dalam tempoh dua puluh tiga tahun. Rasulullah sendiri mendidik dan memberikan nasihat di dalam selang masa ini bagi mengelakkan para sahabat berasa jemu atau bosan.
c-Bertahap didalam mengubah tingkah-laku
Di dalam pendidik bangsa Arab yang sudah terkenal dengan tradisi buruk yang telah
mengakar umbi di dalam masyarakat mereka Rasulullah SAW telah menggunakan kaedah
iaitu :
1)kaedah penanaman iaitu menamkan keimanan di dalam diri manusia
2)menggunakan kaedah bertahap didalam pendidikan contohnya seperti pengharaman arak telah melalui tiga fasa iaitu larangan menjauhinya, larangan bersolat ketika solat dan larangan secara mutlak.
d-Pengulangan
Al Quran dan Rasulullah SAW menggunakan prinsip pengulangan ketika mendidik manusia.Sebagai contohnya Rasulullah akan mengulangkan sehingga tiga kali sehingga para sahabatbenar-benar memahami ajaran yang disampaikan. Menurut Najati (2001) pengulangan kisah-kisah di dalam Al Quran bukanlah pengulangan secara total melainkan hanya menyebut
beberapa peristiwa pada suatu kisah yang sesuai dengan kandungan surah itu. Apabila
berlaku pengulangan serangkai kisah, biasanya akan dikemukan sesuatu yang baru dan
berlaku perubahan didalam susunan ayat atau perbezaan pada cerita permualaan atau akhiran
sesuai dengan tuntutan ungkapan yang dimaksudkan di dalam kisah tersebut.
e- Menarik perhatian
Al Quran telah menyentuh akan peri pentingnya memberikan perhatian kepada pendidikan yang disampaikan. Beberapa kaedah juga telah digunakan Al Quran untuk menarik perhatian orang yang membacanya sebagai contohnya dengan menggunakan perumpamaan-perumpamaan, memulakan surah dengan huru-huruf hijaiyah seperti Alif Lam Mim, penggunaan sumpah di permulaan ayat, susunan kata di dalam Al Quran berbeza dengan adanya i‘jaz balaghah serta alunan muzik yang dapat membangkitkan perasaan dan menarik perhatian.
f-Berperanan aktif
Ajaran Islam meminta umatnya berperanan aktif dengan mengamalkan sendiri ilmu-ilmu yang telah dipelajarinya. Terdapat banyak ayat Al Quran yang menjelaskan tentang perlunya iman yang diiringi dengan amal soleh.

Alizi & Mohamad Zaki (2005): teori motivasi Islam berteraskan jihad
Alizi & Mohamad Zaki (2005) telah membincangkan mengenai pandangan Islam tentang konsep-konsep motivasi bermula dengan keperluaan asas yang diperlukan oleh manusia seperti lapar, kehausan, seks, kuasa, pencapaian, penghargaan, kerohanian/agama, dan
peranan keimanan di dalam motivasi. Beberapa teori-teori motivasi juga telah dinilai
berdasarkan pandangan Islam seperti teori hiraki keperluan Maslow dibandingkan dengan
Maqasid Shar`iyyah. Alizi & Mohamad Zaki telah mengemukakan teori mengemukakan
teori penggunaan prinsip-prinsip motivasi Islami yang berteraskan Jihad (bersungguhsungguh
di dalam membuat sesuatu) dan mengandungi elemen keimanan dan agama.


Alawneh (1999): Model Motivasi Takwa
Teori motivasi yang lebih komprehensif telah dikemukan oleh Alawneh (1999). Alawneh telah mengemukakan motivasi menurut paradigm Islam yang berasaskan kepada kefahaman manusia tentang tujuan penciptaannya dan kemudiannya di kaitkan dengan konsep-konsep asas Islam seperti takwa, iman, khalifah dan taubat dan kaitannya dengan jenis-jenis motivasi yang berlainan. Alawneh juga telah mengemukakan satu model motivasi takwa.

Zaleha & Hassoubah (2008): Model Motivasi Membelajaran 4Ms
Zaleha & Hassoubah (2008) pula telah mengemukakan satu model motivasi pembelajaran
4Ms +Triple S = GOALS. Di mana 4M adalah Muhasabah, Muraqabah, Mutabaah,
Mujahadah dan Triple S adalah Smart , Study, dan Strategies.

Pendekatan Dalam Kajian Motivasi Barat
Terdapat pelbagai teori dan kajian untuk membincangkan konsep motivasi barat.Ada kajian yang dibuat dalam makmal dengan menggunakan binatang; ada pula kajian yang dibuat ke atas manusia dalam makmal atau klinik psikologi. Perbincangan di sini akan hanya memfokaskan kepada kajian yang boleh diaplikasikan kepada pembelajaran dalam bilik darjah.
Terdapat EMPAT pendekatan utama  dalam mengkaji konsep motivasi:
·                    Pendekatan Behaviourisme atau Tingkahlaku
·                    Pendekatan Humanistik atau Kemanusiaan
·                    Pendekatan Kognitivisme
·                    Pendekatan Pembelajaran Sosial
a)                Motivasi dan Pendekatan Behaviuorisme atau Tingkahlaku
Dalam pendekatan ini, konsep motivasi dikaitkan secara jelas dengan prinsip ganjaran dan peneguhan.Tingkahlaku yang telah diberikan peneguhan pada masa yang lalu diandaikan lebih berkemungkinan diulangi berbanding dengan tingkahlaku yang tidak diberikan peneguhan atau yang telah dikenakan hukuman.
Dalam pendekatan ini, soalan-soalan yang selalu ditanyakan adalah seperti berikut: Mengapakah ada di kalangan mahasiswa yang semakin tercabar dan semakin gigih berusaha apablia menghadapi kegagalan, tetapi sebaliknya ada pula yang terus merasa kecewa dan mengundur diri? Mengapakah pula ada di kalangan pelajar yang berusaha keras hanya semata-mata untuk memenuhi harapan kedua ibu bapa, dan ada pula yang belajar semata-mata kerana minat terhadap mata pelajaran itu? Mengapakah ada mahasiswa yang berjaya mencapai kejayaan lebih baik daripada jangkaan kemampuannya, dan ada pula yang sebaliknya?
Untuk memahami persoalan seperti ini, ahli-ahli kaji behaviourisme menerangkan motivasi melalui konsep ‘peneguhan/ganjaran’ dan ‘insentif’. Ganjaran ialah objek atau situasi yang menarik yang diperolehi hasil daripada sesuatu perbuatan atau tingkahlaku. Insentif pula ialah objek atau situasi yang menggalakkan atau tidak menggalakkan tingkah laku itu diulang. Sebagai contoh, janji untuk memberi Sijil Dekan kepada mahasiswa yang berusaha dengan gigih dan mendapat PNGK 3.5 ke atas adalah satu insentif kepada pelajar. Mendapat gred A juga adalah merupakan satu ganjaran dari usaha yang gigih. Oleh itu dari kacamata ahli behaviourisme, bagi memahami motivasi mahasiswa untuk mencapai gred cemerlang, maka perlulah dibuat satu analisis yang teliti berkenaan dengan sistem insentif dan ganjaran yang terdapat dalam masyarakat, sebagai contoh, kaitan antara peluang kerjaya dengan pencapaian akademik yang cemerlang.
Seterusnya, jikalau kita secara konsisten memberi ganjaran kepada sesuatu tingkahlaku yang diharapkan, dengan secara tidak langsung kita akan membentuk kebiasaan dalam diri pelajar untuk bertindak dengan cara yang tertentu. Sebagai contoh, jikalau para pelajar yang aktif dalam bidang sukan diberikan ganjaran dalam bentuk pujian, wang ringgit, privilege, atau kedudukan tertentu kerana peranan mereka sebagai juara sukan di peringkat sekolah, maka dengan sendirinya mereka akan berusaha mempergiatkan usahanya dalam bidang sukan berbanding dengan bidang akademik bagi tujuan mendapatkan segala ganjaran itu.

b)         Motivasi dan Pendekatan Humanistik
Pendekatan ini juga dikenali sebagai ‘third-force’ di awal tahun 1940an sebagai gerak balas terhadap dua pendekatan yang dominan pada masa itu, iaitu behaviuorisme dan psikoanalisis Freud.  Pelopor bidang humanistik seperti Abraham Maslow dan Carl Rogers berpendapat bahawa kedua-dua pendekatan behaviuorisme dan psikoanalisis tidak dapat menerangkan dengan sepenuhnya mengapa seseorang itu bertindak.
Pendekatan humanistik mencuba menunjukkan bahawa keinginan intrinsik seseorang itu adalah digerakkan oleh keperluan untuk mencapai  “self-actualization” (Maslow, 1968, 1970), “inborn actualizing tendency” (Rogers & Freiberg, 1994), atau keperluan kepada “self-determination” (Deci, Vallerand, Pelletier, & Ryan, 1991). 
Pada dasarnya teori ini berpegang kepada kepercayaan bahawa manusia dilahirkan dengan keinginan untuk berusaha memenuhi potensi yang ada pada mereka. Dalam pendekatan ini, memotivasikan pelajar adalah bermakna memberi ransangan kepada resos dalaman yang ada pada setiap orang, iaitu antaranya rasa kompeten diri, harga diri, autonomi, dan pemenuhan kendiri. Kajian mendapati pendekatan ini mencuba menonjol ‘self-esteem movement’, iaitu satu pendekatan yang kontroversi dalam memenuhi keperluan pelajar untuk mendapatkan kedudukan sosial  melalui persoalan harga diri dan digniti para pelajar.
c)                  Motivasi dan  Teori Kognitivisme
Pendekatan ini mencuba menunjukkan bahawa keinginan mengekalkan imej kendiri adalah merupakan satu kuasa motivasi yang kental. Banyak daripada tingkahlaku kita adalah bertujuan untuk mengekalkan standard yang kita kenakan pada diri kita sendiri. Contohnya jikalau kita merasa diri kita orang yang amanah dan bertanggungjawab, maka kemungkinan besar segala perbuatan kita akan mengambilkira nilai dalam diri kita ini, walau pun dalam keadaan di mana tidak ada seorang pun yang memerhatikan kita, kerana kita mahu kekalkan imej kendiri kita itu. Jikalau kita percaya diri kita cerdik dan berkebolehan tinggi, maka kita akan bertindak cara yang sepatutnya bagi menentukan kita sentiasa dalam keadaan selesa dengan imej kendiri itu. Walau bagaimanapun tidak dinafikan adakalanya dalam keadaan tertentu perbuatan kita bercanggah dengan imej kendiri serta nilai dan kepercayaan  kita kerana menjaga sesuatu kepentingan. 
Pendekatan ini juga adalah hasil daripada rasa tidak puas hati terhadap pendekatan behavioursme. Ahli-ahli dalam bidang ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah ditentukan oleh pemikiran kita, bukan hanya disebabkan oleh kita diberikan ganjaran atau telah dihukum dengan melakukan perbuatan itu (Schunk, 1996; Stipek, 1993). Setiap tingkah laku yang dibuat adalah hasil daripada perancangan (Miller, Galanter, & Pribram, 1960), matlamat (Locke & Latham, 1990), skema (Ortony, Clore, & Collins, 1988), pengharapan (Vroom, 1964), dan atribusi (Weiner, 1992). Andaian yang dibuat dalam pendekatan ini ialah respon yang diberikan oleh kita bukan disebabkan oleh situasi luaran atau keadaan fizikal tetapi sebaliknya berdasarkan interpretasi ke atas situasi dan kejadian ini. Sebagai contoh, apabila kita begitu terlibat dalam sesuatu projek kita lupa makan, dan tidak pula terasa lapar sehinggalah kita melihat jam pada masa itu. Dalam pendekatan ini manusia dilihat sebagai aktif dan tinggi rasa ingin tahu, dan sentiasa mendapatkan maklumat untuk menyelesaikan persoalan personal yang relevan. Manusia bekerja keras kerana mereka suka bekerja dan kerana mereka ingin memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna pendekatan kognitif menekankan motivasi intrinsik yang ada dalam diri seseorang itu.

d)         Motivasi dan Pendekatan Pembelajaran Sosial atau Teori Personaliti
Pendekatan ini adalah gabungan antara pendekatan behaviourisme dan kognitivisme. Ia mengambil kira penekanan ahli behaviorisme ke atas kesan atau hasil sesuatu tingkahlaku, dan minat ahli kognitif pula ke atas impak hasil dari kepercayaan dan pengharapan seseorang itu.  Pendekatan ini boleh diringkaskan sebagai teori ‘pengharapan  x  nilai’. Ini bermakna bahawa motivasi adalah gabungan antara dua kekuatan, iaitu pengharapan seseorang itu untuk sampai ke matlamat yang ditujunya, dan nilai matlamat itu untuk dirinya. Dengan lain perkataan, persoalan yang mungkin akan ditanya ialah “ Jikalau saya sungguh-sungguh berusaha, bolehkah saya berjaya?” dan “ Jikalau saya berjaya, adakah hasilnya akan membawa kebahagiaan kepada kehidupan saya?”. Di sini, motivasi dilihat sebagai gabungan antara dua elemen penting, iaitu ‘kejayaan’ dan ‘kebahagiaan hidup’, dan jikalau salah satu daripadanya tidak ada, maka kemungkinan besar motivasi untuk berusaha mencapai matlamat itu akan menjadi lemah dan tidak signifikan lagi.

Teori Motivasi Al-Ghazali
a-Struktur Jiwa
Menurut Al-Ghazali jiwa manusia dalam tiga dimensi, iaitu dimensi bahan, dimensi nabati,
dimensi hewani, dan dimensi manusia. Dalam struktur tigadimensi dari jiwa manusia terdiri al-qalb, al-ruh, al-nafs, dan al-aql. Keempat unsur dalam satu pengertian Latifah iaitu kon atau al-ruh al-rabbaniyyah yang merupakan esensi manusia yang memiliki kekuatan melihat, mengetahui dan mengenali, dan sekaligus menjadi tempat pertanggungjawaban atas tindakan yang ia lakukan.

b-Junud al-Qalb sebagai unsur motivasi
Menurut Al-Ghazali terjadi kerana perilaku peranan Junud al-Qalb atau tentera hati. Pada manusia ada dua kumpulan al-Qalb Junud, iaitu bentuk fizikal dari tubuh yang berperanan sebagai alat dan yang psikis. Alam psikis wujud dalam dua cara iaitu syhawat dan ghadlab yang berfungsi sebagai kekuatan pendorong (kehendak Tuhan). Nafsu mendorong untuk melakukan sesuatu (motif mendekat) dan ghadlab digalakkan untuk menjauh dari sesuatu (motif menjauh). Tujuan dari perilaku ini adalah untuk mendapatkan kepada Allah. Tapi dalam praktiknya perlakuan ini dibagi ke dalam ammarah hieraki motivasi (hedonistik), motivasi Lawwamah (skeptik), dan motivasi Muthmainnah (spiritualitas).

Teori Hierarki Keperluan Maslow
Teori Maslow (Teori Hierarki Keperluan Maslow) sering digunakan untuk meramal tingkah-laku orang dalam kelompok atau organisasi, dan bagaimana memanipulasi atau membentuk tingkahlaku tersebut dengan cara memenuhi keperluannya. Ianya bertolak dari dua andaian dasar iaitu :
1.                  Manusia selalu mempunyai keperluan untuk berkembang dan maju;
2.                  Manusia selalu berusaha memenuhi keperluan yang lebih pokok terlebih dahulu sebelum berusaha memenuhi keperluan lainnya, bermaksud keperluan yang lebih asas harus dipenuhi terlebih dahulu sebelum keperluan tambahan yang lebih tinggi mengendalikan tingkah laku seseorang.
Yang penting daripada pemikiran Maslow ini adalah keperluan yang telah dipenuhi
( sebahagian atau keseluruhan) akan berhenti daya motivasinya, kemudian motivasinya berpindah ke upaya untuk memenuhi keperluan lainnya yang lebih tinggi.
Pemahaman tentang adanya hubungan yang erat antara tingkah laku dan keperluan adalah penting untuk dapat mencipta kepuasan atau mengurangi ketidakpuasan individu anggota kelompok.
Melalui pengamatan terhadap tingkahlaku anggota kelompok dan dikaitkan dengan tingkat keperluannya, maka dapat dilakukan tindakan tertentu oleh anggota lainnya atau oleh pimpinan kelompok dalam rangka membentuk sebuah kelompok yang jitu.

Teori McClelland
Teori McClelland adalah teori motivasi yang berhubung erat dengan proses belajar.
l                  Ia mengemukakan bahawa keperluan individu merupakan sesuatu yang dipelajari dari lingkungan kebudayaannya.
l                  Orang yang tidak pernah melihat dan mendengar tentang televisyen, tidak akan pernah termotivasi untuk memiliki televisyen.
l                  Oleh itu, motivasi yang bersumber dari adanya upaya untuk memenuhi keperluan, merupakan sesuatu yang dapat dipelajari dan diajarkan.
l                  McClelland membahaskan tiga jenis keperluan iaitu :
1.                                          n-Ach (need for achievement), iaitu keperluan individu kepada prestasi
2.                                          n-Aff (need for affiliation), iaitu keperluan individu kepada teman
3.                                          n-Pow (need for power), iaitu keperluan individu kepada kekuasaan.
Tinggi atau rendahnya tingkat keperluan seseorang akan menentukan kuat atau lemahnya motivasinya untuk mencapai tujuan tersebut.
Mereka yang mempunyai n-Ach tinggi lebih senang menetapkan sendiri tujuan hasil kerja yang akan dicapai, dengan mengukur kemampuan sendiri, kerja yang efisien serta bertanggungjawab terhadap penyelesaian masalah yang ada.

 Kesimpulan
            Walaupun telah terdapat beberapa model motivasi yang telah digunakan cenderung kepada pandangan penulis-penulis dari barat. Kekosongan juga telah dilihat di dalam teori-teori ini, di mana kebanyakkan ahli-ahli psikologi barat hanya membincangkan motivasi dalam aspek disekitar aspek jasmani, kognitif dan emosi tetapi meninggalkan aspek rohani.Kertas kerja ini telah membincangkan beberapa teori motivasi yang telah dikemukakan oleh penulis Islam dan Barat . Tinjauan literatur yang dilakukan menunjukkan Islam telah lama mengemukakan teori-teori motivasi di dalam mendidik umat Islam walaupun dengan menggunakan istilah yang berlainan.
            Sesungguhnya motivasi yang menggabungkan teori-teori motivasi yang telah dikemukakan oleh penulis Barat dan Timur ( Islam ) merupakan satu alternatif bagi mengisi kekosongan yang terdapat di dalam teori-teori motivasi barat dan lebih sesuai untuk digunakan di dalam budaya tempatan.
BIBLIOGRAFI
Alawneh, S. F. (1999). Human motivation: An Islamic perspective. The American Journal of
            Islamic Social Sciences.
Atan Long (1976).  Psikologi Pendidikan.  Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa   dan Pustaka.
Ee Ah Meng ( 2000 ).Psikologi Pendidikan 1 : Psikologi Perkembangan.Selangor:Fajar Bakti
Lester D. Crow, Alice Crow (1980). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan.Kuala Lumpur:
            Dewan Bahasa dan Pustaka.  
Saedah, Zainun, Tunku Mohani (1996).  Motivasi Dalam Pendidikan. Kuala  Lumpur :
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.



Read more...

About This Blog

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP