Powered by Blogger.

Faktor-faktor yang Membawa Kepada Terbentuknya Masyarakat Majmuk di Tanah Melayu

>> Saturday 24 October 2015




 Faktor-faktor yang Membawa Kepada Terbentuknya Masyarakat Majmuk di Tanah Melayu
 
Pengenalan
             Masyarakat majmuk sangat sinonim dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang bercirikan pelbagai kaum serta identiti. Terdapat lebih 80 kaum di seluruh Malaysia. Daripada keseluruhan bangsa tersebut, terdapat tiga bangsa yang paling utama iaitu Melayu, India dan Cina. Menurut Kamus Dewan, konsep masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang menetap bersama-sama disuatu tempat dengan mengikut aturan dan cara tertentu dan masyarakat ini pula terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa. Oleh itu, gabungan kedua-dua istilah masyarakat majmuk membawa maksud `satu kumpulan manusia yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa telah membentuk satu kesatuaan, khususnya dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di sesuatu tempat bagi membentuk satu kumpulan yang bersatu padu.
              Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.

             J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras. 

              Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik. 
Faktor yang membawa kepada terbentuknya masyarakat majmuk di Tanah Melayu
                Dalam memahami intipati masyarakat majmuk yang menumpukan semenanjung Malaysia sahaja, perkara yang akan dibincangkan pertamanya ialah sejarah yang mewujudkan masyarakat majmuk. Kehadiran pelbagai kaum pada asasnya telah bermula semasa era kegemilangan Melaka lagi melalui proses perdagangan yang dijalankan. Walau bagaimanapun kehadiran mereka ini tidak dapat digerak menyusuri istilah masyarakat majmuk. Penggunaan istilah masyarakat majmuk itu sendiri hanya bermula pada penghujung abad ke-18 dengan adanya peranan pihak British.Malaysia yang dikenali Tanah Melayu pada suatu ketika dulu pernah dijajah oleh tiga negara yang berbeza iaitu Portugis, Belanda,British dan Jepun. Di sini kita akan bincangkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu melalui penjajahan kuasa asing ,faktor penarik di Tanah Melayu ketika itu dan faktor penolak di negara-negara asal yang menyebabkan berlakunya penghijrahan.

a)Faktor Penarik
                 Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
               Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
              Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama. Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”. Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu.
                 Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada kemsukan lebih ramai orang India. 
b) Faktor Penolak
                  Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.
                  Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
                    Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Cina ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar. 
                    Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu. 

c) Faktor Penjajahan
                 Perubahan ketara berlaku semasa penjajahan British. Pendudukan British di Tanah Melayu bermula dari pergolakkan politik dan perebutan takhta yang berlaku di Kedah dan Johor yang telah dijadikan kesempatan oleh British untuk menakluk Pulau Pinang dan Singapura. Manakala melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, secara langsung Melaka telah diserahkan oleh Belanda kepada pihak British.
                 Ketiga-tiga wilayah ini telah disatukan di bawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai negeri-negeri Selat. Penjajahan British di Tanah Melayu bertujuan memenuhi keperluan permintaan bahan mentah untuk industri barat, mencari pasaran baru bagi barangan siap dan mencari peluang baru untuk pelaburan di barat. Hasilnya Tanah Melayu membangun dengan pelbagai infrastruktur seperti jalan kereta api yang menghubungkan bandar dengan pelabuhan, perladangan dan pembangunan bandar-bandar kecil.
                   Tanah Melayu yang pada ketika itu kekurangan pekerja di sektor perladangan dan perlombongan telah menyebabkan pihak British mulai membawa masuk beramai-ramai buruh dari China dan India untuk menampung kekurangan pekerja.
                   Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain. 

Kesimpulan
                   Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Imigran-imigran ini datang ke Tanah Melayu atas faktor penarik, faktor penolak dan juga atas faktor penjajahan.Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP