Powered by Blogger.

Konsep ‘Gagasan 1 Malaysia’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara Malaysia pada masa kini.

>> Sunday 25 October 2015


Konsep ‘Gagasan 1 Malaysia’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara Malaysia pada masa kini.



Pendahuluan
Matlamat 1 Malaysia adalah melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang terdiri daripada  pelbagai kaum dan agama yang harus menganggap diri mereka sebagai satu keluarga besar dalam satu negara bangsa  Malaysia, malah  berfikir dan bertindak ke arah mencapai perpaduan yang jati antara berbilang kaum. Gagasan 1Malaysia berhasrat mewujudkan sebuah kerajaan yang berpaksikan  kepada  hasrat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Gagasan 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan kelainan yang wujud dikalangan rakyat sebagai satu realiti hidup rakyat Malaysia. Rakyat berbilang keturunan dan etnik di Malaysia perlu menerima keunikan kaum yang lain, mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malah, bersedia hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati nilai-nilai dan kepercayaan  kaum yang lain. Ringkasnya, rakyat Malaysia sedia hidup sebagai satu ‘keluarga besar’ dalam satu negara hak milik bersama.
Oleh yang demikian gagasan 1 Malaysia dalam kontek masyarakat majmuk masa kini perlu dilihat daripada beberapa aspek utama.
1-1 Malaysia daripada Aspek Perpaduan Kaum
Sesungguhnya, Gagasan 1 Malaysia lebih bertekad memfokuskan kepada aspek psikologi atau jiwa rakyat Malayasia dalam menerima dan menerap nilai-nilai murni seperti kekitaan, memikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia, malah mengapuskan pemikiran yang bersandarkan satu kaum atau etnik tertentu di kalangan rakyat.
Gagasan 1Malaysia  mendorong rakyat lebih mementingkan kepentingan negara dalam perjuangan masing-masing daripada memenuhi kepentingan dan keperluan sesuatu kaum tertentu yang tidak terhad. 
Perledakan maklumat dan proses globalisasi telah mencetuskan pelbagai cabaran dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, keturuan dan etnik. Perubahan dalam landskap politik dunia juga turut mempengaruhi pemikiran rakyat Malaysia dalam konteks perpaduan dan integrasi antara kaum, malah dalam konteks patriotisme dikalangan golongan muda.
Sesungguhnya, perpaduan yang erat dan jati antara berbilang kaum di Malaysia adalah prakarsa bagi bukan sahaja menguatkan negara mengadapi ancaman globalisasai malah akan membantu  mempertahankan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang sedia terbina dan dinikamati sejak beberapa tahun yang lalu.
Sehubungan ini, Gagasan 1 Malaysia mainkan peranan penting sebagai alat yang membantu memastikan aspirasi negara, WAWASAN 2020 tercapai supaya Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Rakyat Malaysia , tanpa mengira keturunan,etnik, agama  malah kefahaman politik harus memahami, menghayati dan menerapkan teras-teras perpaduan seperti penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial  dan nilai-nilai aspirasi  seperti  budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu , integriti , ketabahan , kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi,  yang dimajukan dalam Gagasan 1 Malaysia supaya negara bangsa Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, aman,damai dan sejahtera dipersada dunia.  

2-Aspek Kebebasan Beragama
Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Walaupun agama Islam merupakan agama rasmi di Malaysia tetapi berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, setiap orang di negara ini berhak untuk menganuti agama
masing-masing.
Konsep 1 Malaysia adalah bertepatan dengan hak kebebasan beragama yang
diberi oleh Perlembagaan Persekutuan. Prinsip penerimaan di bawah konsep 1
Malaysia menyeru rakyat agar menerima agama, amalan, budaya dan cara hidup kaum
lain demi memperkukuhkan perpaduan nasional. Prinsip ini menghargai dan
menghormati identiti, agama dan budaya yang berbeza untuk setiap etnik di Malaysia
dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Perkara-perkara yang terbaik yang dimiliki oleh kaum di Malaysia perlu mendapat
penerimaan daripada masyarakat di negara ini. Apabila kaum di Malaysia menerima
agama kaum yang lain, ia secara langsung akan menerima budaya dan cara hidup
kaum yang lain. Ini adalah kerana agama merupakan salah satu faktor yang akan
mempengaruhi budaya dan cara hidup sesuatu kaum.
Nilai rendah diri berkait rapat dengan prinsip penerimaan. Nilai rendah diri amat
digalakkan dalam masyarakat negara yang berbilang kaum terutamanya dalam ajaran
agama masing-masing. Sifat rendah diri yang berhemah dan berbudi bahasa perlu
menjadi amalan hidup rakyat Malaysia. Apabila kaum-kaum di negara ini mengamalkan
nilai rendah diri, mereka akan secara ikhlas menerima agama, budaya dan cara hidup
kaum yang lain

3-Keadilan Sosial
Prinsip keadilan sosial yang merupakan prinsip teras yang terakhir dalam konsep
1 Malaysia menuntut bahawa setiap kaum di negara ini harus diberi keadilan yang
sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang ataupun agama. Semua kaum harus
menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu
dinikmati secara bersama. Nasib semua kaum harus dibela dan tiada mana-mana pihak
harus dipinggirkan. Prinsip keadilan sosial juga menyaran kerajaan supaya
melaksanakan dasar kerajaan dan peruntukan Perlembagaan untuk membela golongan
yang memerlukan.
Prinsip keadilan sosial dalam konsep 1 Malaysia adalah disokong oleh Perkara 8
dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8 dengan jelas mengiktiraf dan
melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi setiap orang di negara ini dan ia
dinyatakan di bawah Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Walau
bagaimanapun, Fasal (2) Perkara 8 membenarkan diskriminasi terhadap warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana
undang-undang atau dalam perlantikan apa-apa jawatan atau pekerjaan di
bawah pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang
berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubung
dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profession,
kerjaya atau pekerjaan jika dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, konsep kesamarataan dalam prinsip keadilan sosial mestilah
sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan
diskriminasi dalam keadaan tertentu.
Prinsip keadilan sosial dari segi pendidikan pula diperuntukkan dalam Fasal (1)
Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan27 yang melarang diskriminasi terhadap mana-mana
warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan dan tempat lahir
dalam aspek pendidikan yang antara lainnya mengenai kemasukan pelajar ke institusi
pendidikan dan bantuan kewangan. Dari segi bantuan kewangan (pemberian biasiswa),
nilai meritokrasi yang merupakan salah satu daripada 8 nilai utama dalam konsep 1
Malaysia digunakan bagi memastikan hanya pelajar yang layak akan diberi bantuan
kewangan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Dalam hal ini, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134], telah digubal atas prinsip keadilan sosial. Ini adalah kerana hak dan kepentingan golongan masyarakat seperti orang asli dan orang kurang upaya sering terabai jika dibandingkan dengan masyarakat yang berada di arus perdana di negara ini dan undang-undang yang digubal adalah untuk melindungi golongan seperti ini. Prinsip keadilan sosial menuntut bahawa semua orang di negara ini diberi hak yang sama dan keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek sosial.Akta 134 diwujudkan bagi memberi perlindungan kesejahteraan dan kemajuan orang asli di Semenanjung Malaysia.

4-Aspek Nilai Meritokrasi
Nilai meritokrasi dalam konsep 1 Malaysia menekankan persaingan terbuka
berasaskan kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria
tersebut berhak dipilih. Sebagai contohnya, dalam aspek pemerolehan projek kerajaan,
pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat
yang hendak mendapat tender tersebut hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Nilai meritokrasi yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjelaskan konsep 1 Malaysia mengatakan bahawa:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita
mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik
dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.”.
Berdasarkan pernyataan Perdana Menteri, dasar afirmatif dan dasar menolong kaum bumiputera di bawah Perkara 153 masih dikekalkan asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Nilai meritokrasi memang dilaksanakan dalam dasar afirmatif di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walaupun terdapat sistem kuota untuk sesetengah perkara seperti pemberian biasiswa, lesen dan sebagainya, namun meritokrasi masih dilaksanakan dengan memberi pertimbangan kepada orang yang paling layak dalam kuota masingmasing. Nilai meritokrasi mempunyai kaitan rapat dengan nilai budaya kecemerlangan dan nilai ketabahan. Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Penerapan nilai meritokrasi dalam nilai budaya kecemerlangan membolehkan rakyat Malaysia memberikan yang terbaik dalam setiap perkara dan tugas demi mencapai ke tahap
yang terbaik. Oleh yang demikian, nilai meritokrasi memainkan peranan yang penting sebagai asas kepada budaya kecemerlangan. Nilai meritokrasi dan nilai budaya kecemerlangan adalah adunan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi Malaysia.
5-Aspek Pendidikan
Konsep 1 Malaysia menekankan pendidikan sebagai prasyarat yang penting.
Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan
untuk membangunkan negara. Semua aliran, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah
Cina atau Sekolah Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Dalam keadaan ini, Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak berkenaan dengan pendidikan mengiktiraf nilai pendidikan dalam konsep 1 Malaysia.
Nilai pendidikan dalam konsep 1 Malaysia disokong oleh Akta Pendidikan 1996
[Akta 550]. Akta 550 diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tajuk panjang Akta 550 menyatakan bahawa ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Di samping itu, Akta ini juga mengatakan bahawa tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat. Berdasarkan kepada tajuk panjang Akta 550, nilai pendidikan yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah bertepatan dengan Akta 550.

Kesimpulan
Gagasan 1 Malaysia merupakan satu  gagasan besar demi meletakkan Malaysia di puncak kejayaan.Oleh yang demikian kebajikan pelbagai kaum di Malaysia dititik beratkan bagi menjamin keadilan daripada pelbagai aspek seperti ekonomi,pendidikan,politik mahupun kebajikan sama ada secara langsung atau secara persaingan yang sihat.
Dalam gagasan satu Malaysia ini, adalah menjadi harapan kerajaan agar masyarakat majmuk  Malaysia dapat merasai nikmat kemajuan secara bersama tanpa perlu menindas atau mengenepikan hak-hak dan kepentingan kaum lain.
.

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP